Friday, October 8, 2010

PMR YANG DINANTI ........................

Buat anak-anak KRK calon PMR 2010 yang dirindui,

Pastinya kalian telah bersedia dan tak sabar untuk menyahut cabaran PMR 2010. Kertas soalan bagi enam subjek telah pun selamat kalian duduki , tinggal Matematik dan KH sahaja lagi. Bonda pasti dan sentiasa mendoakan semuanya berjalan dengan lancar. Ya .. pasti, 8 A menari-nari di hadapan mata . Ingat, selepas tuntas menjawab semua kertas, pastikan tugas kalian selanjutnya  tidak putus-putus berdoa,  memohon kepada Yang Maha Pencipta supaya melembutkan hati para pemeriksa kertas , menerima jawapan kalian sebagai jawapan yang cemerlang.

Buat anak-anak KRK calon SPM 2010 yang disayangi,

Jangan alpa untuk bersedia daripada awal. Pastikan kalian tidak berbulan madu kerana tiada peperiksaan besar untuk tahun ini. Ingat, jerat tak pernah lupakan pelanduk, walaupun pelanduk selalu lupakan jerat. Kalian perlu sentiasa bersedia. SPM merupakan batu asas untuk kalian memilih bidang kerjaya .....Pastikan anda memilih langkah bijak dengan selalu bersedia hari ini , esok dan selamanya.

Buat anak-anak KRK Tingkatan 1 dan 2 yang dikasihi,

Walaupun kita tidak sempat beramah mesra, doa bonda sentiasa selalu bersama. Semoga kalian  akan muncul sebagai pelajar-pelajar cemerlang walau di mana jua anda berada. Ingat, kecemerlangan bukan sahaja dalam aspek akademik tetapi juga cemerlang dalam kesantunan, beradap dalam kehidupan, sopan dalam amalan seharian, mulia hati, jiwa dan raga.

Akhir kata buat semua anakanda tercinta,
JAGA DIRI, HIASI PERIBADI. CEMERLANG DALAM KEHIDUPAN DI DUNIA DAN AKHIRAT.
SALAM KASIH MESRA BUAT SEMUA.......